SHAH ALAM - “Aspek-aspek dalam nilai sosial masyarakat akan mula terserlah akan kebaikan nilai-nilai yang tadi dan di situlah akan lahirnya sebuah deen (agama) di mana ia merupakan asas untuk kebaikan untuk semua sekali dan begitulah dapat kita laksanakan rahmah untuk semua,” ujar Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin (IM) Antarabangsa, Dr Ibrahim Munir.

Beliau mengutarakan jawapan tersebut ketika ditanya mengenai penjelasan erti rahmatan lil ‘alamin (rahmat untuk sekalian alam) bukannya rahmatan lil muslimin (rahmat untuk orang-orang Islam) dalam sidang media Konvensyen Maqasid Syariah (KMS 2015) pada Ahad lalu di IDCC Shah Alam.

Tambahnya, setiap perkara ada kewajipan, keperluannya dan ada hak-haknya.

“Kita akui setiap perkara ada hak-hak keinsanannya, setiap perkara perlu diberikan dari segi hak, baik dia miskin atau dia lemah, baik dia itu jahil, maka untuk melaksanakannya kita perlu ada undang-undang yang baik, kita perlu adakan engagement, atau kita buat perjanjian-perjanjian dengan pihak-pihak yang pelbagai ini.

“Tatkala setiap pihak berpegang teguh dengan nilai-nilai yang diajarkan ini, maka daripada itulah akan lahirnya aspek-aspek muamalat yang lain akan datang,” ujar beliau.

Beliau juga mengambil contoh masyarakat Madinah terdahulu dengan apa yang berlaku di Madinah pada masa dahulu adalah contoh yang terbaik di mana ia mendahului semua tamadun-tamadun lain dalam dunia.

“Dalam Madinah sendiri ada strukturnya, ada piagamnya yang menjadi contoh sebelum mana-mana tamadun lain membuat undang-undang dan bagaimana interaksi antara ahli dalam negara madinah itu sendiri menjadi contoh kerana di dalamnya ada syariat.

“Menjadi masalah untuk sesetengah dalam kalangan kita kerana kita seolah-olah tidak mahu mengambil ini sebagai contoh yang mana kita pula seolah-olah membuat syariat atau syarak yang  baru,” katanya.

Tambah beliau lagi, ia sudah cukup terperinci bagaimana Piagam Madinah menerangkan hubungan antara yang muslim dan bukan muslim, bagaimana terdapat yang kuat perlu saling bantu membantu dan sebagainya.

Dr Ibrahim memberi contoh, memang akan ada golongan yang mungkin mengambil pendekatan yang lembut dan mungkin yang lebih bersemangat namun ini adalah suatu perkara yang memang berlaku dan ada juga golongan yang kadang-kadang keras dengan ibadahnya.

“Di sini, apa yang dilihat, kita perlu sentiasa menanam sifat nasihat menasihati sesama manusia, dan setiap manusia itu akan diperkirakan terhadap apa yang dilakukan dan bagaimana kita lihat diri kita sendiri, akidah Islam itu tidak boleh memaksa seseorang itu dengan akidahnya.

Jelas Dr Ibrahim, fiqh muwathonah (fiqh kewarganegaraan) yang ditekan Dr Rachid Ghannouchi sebelum ini, semua mempunyai hak-hak kewarganegaraan kekal dan jelas maka dalam pelaksanaan ini sudah pasti akan ada persoalan dan akan ada golongan yang lebih cenderung sehingga menghala satu sisi sahaja baik ke kanan atau ke kiri.

“Tapi kita lihat Malaysia ini sebagai contoh yang sangat baik dan contoh yang berjaya. Kita tidak nafikan akan ada dalam kalangan manusia atau kalangan pemimpin yang berbeza-beza pendapat.

“Namun, kita perlu berusaha untuk menjadikan hasil ini hasil yang baik serta sebaik mungkin untuk dilaksanakan dan kita tidak nafikan pada masa akan datang mugkin berlaku persoalan yang perlu kita hadapi bersama,” jelas beliau.

Jangan Lepaskan Peluang Ke Konvensyen Ini!