SHAH ALAM - Berhadapan dengan isu-isu kehidupan, maqasid syariah berdiri sebagai neraca pertimbangan yang memungkinkan pembinaan pandangan yang tepat, fatwa yang matang dan penyelesaian yang patuh syariah.

Kepentingan maqasid syariah kepada manusia menjadikannya asas sebuah negara yang didambakan sehinggalah ke peringkat negara-negara serantau dan dunia. 

Pandangan tersebut dinyatakan Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad ketika menyampaikan ucapan alu-aluan kepada lebih 2,000 peserta Konvensyen Maqasid Syariah (KMS 2015) di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini pada Ahad lalu. 

Pengetahuan tentang maqasid syariah adalah kebijaksanaan yang diperlukan seseorang pemimpin masyarakat kerana ia dapat membantunya mengolah penyelesaian masalah manusia di dunia serta mengemukakan sebaik-baik pandangan sejajar dengan roh syariah berdasarkan suruhan dan larangan Allah. 

"Menerusi pengetahuan Maqasid Syariah, kita akan memiliki kebijaksanaan yang diperlukan untuk memimpin masyarakat, mengolah penyelesaian terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh manusia di dunia. Itu kedudukannya, sebagai neraca yang memungkinkan kita mengemukakan sebaik-baik pandangan, sejajar dengan roh syariah, sejajar dengan kehendak Allah daripada arahan-arahan-Nya," jelas beliau. 

Menurut Dr Mohd Parid, secara umumnya, ulama berpandangan bahawa di belakang semua suruhan dan larangan Allah itu ada maksud-maksud yang tersendiri. Maqasid Syariah adalah satu daripada disiplin syariah. Di belakang setiap hukum ada alasan, sebab atau hikmah yang dituntut untuk direalisasikan. 

Orang yang memahami maqasid syariah akan berupaya memberi pandangan dengan hujah dan alasan terbaik. Itulah pengetahuan yang perlu difahami oleh mereka yang membuat keputusan (policy maker) untuk menentukan perjalanan sesebuah negara dan kehidupan rakyat pada masa hadapan. 

Menurutnya lagi, Maqasid Syariah adalah suatu ilmu yang dibangunkan oleh Imam Syatibi, seorang ilmuan Sepanyol bermazhab Maliki, yang dikatakan mewakili aliran pemikiran sahabat bertunjangkan khalifah Umar al-Khattab r.a. Imam Syatibi membincangkan tajuk ini di dalam bukunya 'Al-Muwafaqat'. 

Ilmu Maqasid Syariah ini kemudiannya 'tenggelam' dalam arus zaman dan dihidupkan kembali oleh seorang ulama kelahiran Universiti Zaytuna, Tunisia iaitu Syeikh Tahir Ibnu 'Asyur. 

Ia mendorong IKRAM sebagai penganjur untuk membawa Dr Rachid Ghannnouchi, pengasas En-Nahda Movement Tunisia ke sini untuk membicarakan tajuk Maqasid Syariah. Dr Rachid bagaimana pun menarik diri pada saat-saat akhir kerana terpaksa menyelesaikan beberapa urusan penting di negaranya. 

Konvensyen Maqasid Syariah yang diadakan sehari selepas Perhimpunan Tahunan IKRAM 2015 di tempat yang sama berjaya menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama walaupun ia pertama kali diadakan.  

Ia turut menampilkan tokoh-tokoh hebat dari luar dan dalam negara seperti Dr Ibrahim Munir (Setiausaha Agung Ikhwan Muslimin Antarabangsa), Dr Mahmoud Hussein (Setiausaha Ikhwan Muslimin Mesir), Ustaz Muhammad Anis Matta (Mantan Presiden PKS Indonesia), Ustaz Hilmi Aminuddin (Mantan Ketua Majlis Syura PKS), YB Dato' Dr Mujahid Yusof Rawa (Naib Presiden AMANAH), Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus (Naib Presiden AMANAH), Hj Syed Ibrahim Syed Noh (Ketua Penerangan PKR) dan Dr Maszlee Malik (Pensyarah UIAM).

Jangan Lepaskan Peluang Ke Konvensyen Ini!