SHAH ALAM - Untuk menjadi masyarakat yang bertamadun, hendaklah pandai mengurus perbezaan yang ada dalam kalangan mereka dan  tidak menjadikan perbezaan-perbezaan dari sudut fikrah (pemikiran), agama, kaum dan lain-lain sebagai sebab untuk memfitnah atau berperang antara satu sama lain, menurut Dr Rachid Ghannouchi.

“Sekiranya kita hendak mengatakan bahawa kita adalah orang yang bertamadun, persoalan yang perlu ditanya ialah: Adakah kita mampu untuk mengurus sebarang perbezaan dalam kalanga kita hingga kita mampu untuk bersama-sama hidup di bawah satu bumbung walaupun penuh dengan perbezaan?” soal beliau.

Tambah beliau, Maqasid Syariah sepertimana yang difahami oleh Rasulullah s.a.w. di Madinah dan juga yang difahami dalam tamadun-tamadun Islam yang lain, membuktikan bahawa Islam adalah agama yang memperakui prinsip kebebasan dan juga kebebasan bagi penganut-penganut agama yang bukan Islam.

Jelas beliau dalam video khas ucapan beliau sempena Konvensyen Maqasid Syariah 2015 di IDCC Shah Alam pada Ahad lalu, Islam turut memperakui kebebasan bersuara, kebebasan kewarganegaraan bagi orang Islam dan bukan Islam dalam sesuatu masyarakat.

Islam memperakui pentingnya kita bersama-sama dalam satu negara untuk membina tamadun bersama-sama. Islam juga memperakui prinsip keadilan, prinsip kewarganegaraan, prinsip rahmah dan prinsip untuk hidup bersama-sama walaupun berbeza pandangan dan kaum, bahkan islam juga memperakui bahawa kita perlu menjaga dan memelihara alam sekitar, menjaga hak-hak manusia dan juga wanita.

“Apabila kita hendak mengatakan bahwa Islam adalah solusi (penyelesai masalah) dan bukannya sebagai masalah, maka kita perlu mempraktikkan Islam atas fahaman yang sebenar dan bukannya fahaman yang sempit,” tegas beliau.

Beliau memetik surah al-Maaidah ayat 2 yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu saling bantu membantu dalam perkara kebaikan dan takwa...”

Beliau juga memetik surah al-Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)...” 

Katanya, Allah Taala tidak menjadikan manusia dengan kepelbagaian yang ada dengan tujuan untuk berperang dan bermusuhan.

“Sedangkan Allah s.w.t. menjadikan bumi ini seluruhnya adalah untuk menunjukkan bahawa Allah s.w.t. mempunyai rahmah yang sangat luas dan Islam adalah agama yang memberikan perlindungan kepada semua,” ujarnya.

Menurut Ghannouchi, Islam adalah solusi yang sebenar sekiranya Islam difahami dengan sebenar-benar fahaman dan sebenar-benar tafsiran ke atas maqasidnya (tujuan-tujuannya) dan Islam akan menjaga segala keadilan, rahmah, kepelbagaian dan hak-hak manusia.

Bagi beliau yang juga Presiden En-Nahda Movement, Tunisia, masyarakat Islam adalah masyarakat yang rahmah (berkasih sayang), masyarakat yang boleh menerima kepelbagaian dari segi politik, kaum, fikrah, ideologi dan sebagainya; dan setiap penduduk dalam sebuah negara mempunyai hak yang sama rata. 

“Sesungguhnya kepelbagaian yang ada dalam sesuatu negara itu, bukanlah suatu masalah. Sebaliknya kepelbagaian itu boleh menjadi suatu kebaikan dan rahmah sekiranya kita memahami bahwa Islamlah satu-satunya jalan yang sebenar untuk mengumpul segala macam kepelbagaian,” jelas beliau.

Jangan Lepaskan Peluang Ke Konvensyen Ini!