SHAH ALAM - “Kita seharusnya datang dengan semangat untuk Islah (pembaharuan). Politik pada permulaan itu perlulah berorentasikan pada perubahan, tetapi politik pada proses, sepenuhnya berisi konflik,” jelas Mantan Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia, Ustaz Muhammad Anis Matta.

Dan kerana itu, kata beliau dalam Konvensyen Maqasid Syariah (KMS 2015) di sini, ahli politik Islam mesti menguasai dua jenis pengurusan iaitu Idaarah at-Taghyiir (pengurusan perubahan) dan Idaarah as-Siraa’ (pengurusan konflik).

Beliau yang juga mantan Wakil Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) berkata, itu adalah tabiat daripada amal siyasi (kerja politik) dan kerana itu, biasanya ramai dalam kalangan kelompok Islamis berfikir bahawa politik itu hanya mempunyai satu tujuan, hanya punya satu dimensi, iaitu dimensi yang berhubungan dengan tujuannya dan tidak memasukkan aspek politik yang berhubungan dengan prosesnya.

“Jadi ketika mereka terlibat dalam politik, mereka mengalami kecelaruan, bahawa tidak seindah yang dibayangkan. Seperti orang lain bicara, kita berbicara partisipasi (penglibatan), orang lain bicara kompetisi (persaingan), itulah yang terjadi.”

Menurutnya, untuk turun ke lapangan politik seseorang itu, perlulah menerapkan tiga aspek penting iaitu pengetahuan teori, pengetahuan yang telah diamalkan dan pengetahuan yang lahir daripada hasil pengamalan itu.

Kata beliau, jika barat takut dengan istilah negara Islam, memang ada alasannya, kerana dalam perspektif mereka negara adalah sumber daya.

“Dan kerana itu semua ideologi berfikir idea yang sama. Itu sama seperti ketika kita ada di jalanan, kita mencuba mencari jalan yang tidak sesak dan tidak banyak lampu isyarat. Kita cari jalan yang lain. 

“Ternyata semua orang yang menjadi pemandu, memikirkan hal yang sama. Namun sesak juga akhirnya dan politik adalah seperti ‘kesesakan’ itu.” ujarnya dalam ucapan yang bertajuk ‘Implementasi Maqasid Syariah dalam Koalasi (Gabungan) Politik’ di hadapan lebih 2,000 peserta KMS 2015 pada 25 Oktober yang lalu.

Jangan Lepaskan Peluang Ke Konvensyen Ini!