SHAH ALAM- Sewaktu memasuki ke dalam amal siyasi (kerja politik), semua parti politik itu mempunyai tiga tahap perkembangan iaitu bagaimana menjadi sebahagian daripada politik nasional, bagaimana menjadi kekuatan arus utama dalam politik dan bagaimana menjadi pemimpin.

“Paling tidak ini adalah situasi yang dialami di Indonesia dan saya berpandangan ini juga yang berlaku di Malaysia,” jelas Ustaz Muhammad Anis Matta, mantan Presiden Partai Keadilan Sejahtera (PKS) Indonesia.

Beliau menjelaskan pada langkah pertama seseorang itu perlu mengintegrasikan diri dalam sistem politik. Langkah keduanya pula adalah menjadi kekuatan bersama dengan kekuatan-kekuatan yang lain, dan langkah ketiga adalah menjadi pemimpin kepada keseluruhannya.

“Persoalannya di tahap yang pertama, dalam hal bagaimana kita menjadi sebahagian daripada sistem politik adalah menghilangkan permusuhan yang lama antara Islam dan negara kerana permusuhan ini benar-benar tidak hilang sehingga kini. Dan itulah tragedi besar yang terjadi setelah Arab Spring,” ulasnya.

Menakala menurutnya yang kedua, begitu seseorang ingin menjadi sebahagian daripada kekuatan arus utama dalam politik, yang perlu dilakukan adalah membuktikan bahawa mereka mempunyai kekuatan real power.

“Dan ketika kita ingin memimpin, kita perlu meyakinkan semua orang bahawa kita mempunyai sesuatu yang relevan untuk kita memimpin,” kata beliau. 

Dalam perspektif ini, beliau menjelaskan terdapat tiga langkah pertumbuhan iaitu mereka perlu bermula menjadi sebahagian daripada sistem, kemudian menjadi sebahagian daripada mainstream (arus perdana), kemudian menjadi pemimpin dan pada setiap langkah ini,  memiliki persoalannya yang tersendiri.

“Sebagaimana kami di Indonesia, mewarisi satu doktrin inteligen (perisik) yang menyatakan (kerana ada sejarah yang panjang) gerakan Islam yang bersenjata di Indonesia, sehingga ini terwarisi. Maka, kami (PKS) dianggap kelanjutan daripada kekuatan itu,” demikian jelasnya.

Dalam penyampaian tersebut, beliau turut berkongsi tentang apa yang dilakukan di Indonesia iaitu melakukan dialog secara langsung dengan pasukan ketenteraan dan membuka diri dengan mereka secara telus, menyampaikan apa yang sebenarnya yang PKS bawa selain membina kepercayaan dengan tentera.

“Kami mengajak mereka melupakan yang lalu dan kami juga berusaha menghilangkan dendam di masa lalu. Trust building ini adalah satu proses yang paling rumit.”

Sewaktu PKS ingin menjadi mainstream, persoalannya menjadi lain, ketika PKS sudah diterima, namun ramai orang ingin tahu adakah PKS boleh diajak bersama atau tidak.

“Dan alhamdulillah, kami punya 10 tahun dalam koalasi pemerintahan dan sekarang PKS dalam oposisi (pembangkang) tapi juga tetap dalam koalasi supaya kita tetap ada dalam mainstream tadi.”

Jangan Lepaskan Peluang Ke Konvensyen Ini!