SHAH ALAM - “Madinah adalah masyarakat yang terdapat pelbagai agama dan bangsa, dan ketika datangnya Islam dan mengambil tugas pemerintahan, baginda telah menggariskan satu perlembagaan yang ditulis Nabi s.a.w. sendiri iaitu Sohifah Madinah (Perlembagaan Madinah) yang merupakan perlembagaan pertama dalam sejarah (tamadun manusia),” kata Dr Rachid Ghannouchi.

Menurut beliau, Perlembagaan Madinah telah mengiktiraf hak setiap golongan yang membentuk Madinah, baik golongan Yahudi, Islam atau selainnya dan dijaga hak mereka menerusi perlembagaan ini hingga kesemua golongan mendapat hak sebagai warganegara.

Tambah beliau, Nabi s.a.w. tidak pernah mengesampingkan mana-mana golongan yang membentuk (negara) Madinah bahkan beliau mengiktiraf semua golongan.

“Prinsip al-muwathonah (kewarganegaraan) adalah prinsip yang dibenarkan oleh syariat (Islam) dan dalam surah al-Anfaal ada ayat (dalil) yang jelas berkenaan dengan perkara ini di mana diterangkan ketika mana seseorang berada di atas tanah sesuatu negara, maka ia diberi hak ke atas individu yang berada di atas tanahnya baik kepada orang Islam ataupun bukan Islam, bahkan bagi orang Islam yang masih di Makkah, (mereka) tidak mendapat (lagi) hak sebagai warganegara,” jelasnya.

Jelasnya lagi, antara hak-hak kewarganegaraan ialah diberi hak penjagaan keselamatan dan bantuan baik kepada orang Islam ataupun bukan Islam, sedangkan orang-orang Islam yang masih berada di Makkah tidak mendapat hak penjagaan keselamatan dan bantuan ini sepertimana yang diberi oleh Nabi s.a.w. kepada semua penduduk di Madinah termasuklah kaum Yahudi pada ketika itu.

Beliau memetik surah al-Anfaal ayat 72 yang bermaksud:

“...Dan orang-orang yang beriman yang belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikit pun untuk membela mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya, kecuali terhadap kaum yang ada perjanjian setia di antara kamu dengan mereka...”

Melalui ayat ini, beliau menyatakan bahawa orang-orang Islam yang belum berhijrah iaitu orang-orang yang belum berpindah ke negara Madinah, mereka tidak dipertanggungjawabkan (ke atas pemerintah di Madinah) akan mereka sehingga mereka meminta pertolongan, maka wajiblah ditolong.

“Kecuali terdapat perjanjian atau kesepakatan negara Madinah dengan mana-mana golongan Muslim di luar Negara Madinah untuk diberi keutamaan bantuan (dan perlindungan) kepada mereka,” ujar beliau.

Berucap dalam video khas sempena Konvensyen Maqasid Syariah 2015, Dr Rachid berkata, ini membawa erti bukanlah kemestian bagi negara Islam untuk menghantar tenteranya bagi membantu umat Islam di pelusuk dunia ini tetapi keutamaan negara itu ialah memberikan perlindungan kepada penduduk dalam negaranya sendiri baik dalam kalangan Islam ataupun bukan Islam.

Adapun umat Islam di negara luar (yang perlukan bantuan) ujarnya, negara Islam tersebut boleh membantunya sesuai dengan kepentingannya dan kesepakatan antara mereka.

“Islam adalah sebuah Deen (cara hidup) yang (memerhatikan) realiti serta mengiktiraf prinsip kewarganegaraan kerana tinggalnya (penduduk) di tanah air (negara) yang memberinya hak ini,” tambahnya.

Menurut beliau, Perlembagaan Madinah juga mengiktiraf dan meraikan kepelbagaian, dan (kepelbagaian) ini telah berlaku dalam masyarakat Malaysia. 

Masyarakat Malaysia terdapat pelbagai agama dan Islam dahulunya muncul dan dibangun di (tengah-tengah) kepelbagaian dan bukan (ada) satu agama sahaja bahkan ada agama dan bangsa yang pelbagai,” jelasnya.

Jangan Lepaskan Peluang Ke Konvensyen Ini!